http://picasion.com/
picasion.com

Bantuan...

BANTUAN ....

Oleh: Prof. Dr. Muhaya Mohamad

Apakah bantuan yang paling kita harapkan dalam hidup ? Pastilah kita semua mengharapkan 'bantuan' Allah . Tidak akan ada sesiapa pun dapat mengalahkan kita sekiranya 'ada bantuan' Allah. Baik yang datang itu manusia, jin, iblis , ataupun masalah-masalah dalam hidup.
.
Cuma persoalannya, adakah kita layak menerima 'bantuan' itu ? Melihat kepada amalan kita, adakah kita layak ? Melihat kepada sikap kita, adakah kita layak ? Namun, perlu kita ingat, Allah Maha Pengasih. Rahmat Allah lebih luas dan besar. 'Bantuan' Allah sentiasa dikira rezeki, dan sebagai rezeki ia bersifat rahsia Allah..
.
Di sinilah, kita sebagai orang Islam jangan tertinggal perkara penting itu. Setiap perkara yang kita lakukan perlu diniatkan kerana Allah..Kita niat ikhlas dan sungguh-sungguh kerana Allah. Kita langsung tidak memikirkan tentang mahu menabur budi, mahu dibalas budi, mahu dikenang, apatah lagi mahu disanjung dan dipuji.
.
Cuma persoalan yang sering datang kepada manusia adalah, dia berasa sudah melakukan segala-galanya, tetapi mengapa dia masih gagal ? Mengapa seperti 'bantuan' Allah itu tidak pernah datang?
.
Kita merancang, tetapi rancangan Allah adalah yang lebih baik. Kita meminta, tetapi pemberian Allah adalah yang jauh lebih baik. Kita meminta 'kaya', tetapi tidak berjaya selepas puas berusaha dan berdoa. Apa salah kita ? Semestinya ada salah di mana-mana. Namun, sebelum kita menemui salah itu, cepat-cepat ingatkan diri kita, bahawa, 'tidak dapat', juga adalah 'bantuan' yang tiba..
.
Misalannya, sekiranya kita berjaya menjadi orang kaya, mungkin kita tidak mampu mengawal kekayaan kita..Ibarat, seorang yang hanya tahu berbasikal, diberikan Ferrarri untuk dijadikan pengangkutan,adakah orang itu mampu mengawal kelajuan Ferrari tadi ? Sehingga akhirnya kemalangan..
.
Untuk yang mempersoalkan, mengapa orang yang buruk akhlaknya, langsung tidak mahu tunduk kepada Tuhan, diberikan pula segala yang mereka minta ? Jangan kita lupa, sesiapa yang berusaha memang Allah akan beri. Itulah rahmat Allah untuk seluruh alam. Tidak kira orang Islam ataupu bukan Islam..
.
Cuma sebagai orang Islam, kita bukan sahaja berusaha mendapatkan harta dunia, tetapi juga berharap yang harta dunia tadi berguna untuk akhirat nanti. Jadi apabila kita tidak mendapatkan 'kaya dunia' mungkin itulah sebenarnya 'bantuan' Allah untuk kita. Membantu kita mendapatkan akhirat dengan cara yang tidak  kita sangka..Mungkin 'kaya dunia' tadi adalah penghalang untuk kejayaan akhirat kita..
.
Untuk orang Islam yang memang melanggar semua perintah dan larangan  Allah, tetapi masih kaya, itulah nama istidraj..Allah memberikan apa semua yang minta, tetapi tanpa redhaNya. Mereka akan menggunakan kekayaan tadi untuk melakukan lebih banyak maksiat..Lebih banyak kerosakan, ke muka bumi, dan dirinya sendiri. Mereka semakin jauh daripada Allah, dan semakin hampir dengan neraka. Lalu, adakah ini yang dinamakan 'bantuan Allah'..
.
Jadi, jangan terlalu cepat kecewa apabila apa yang kita minta tidak diperoleh. Jangan pula cepat bersangka buruk apabila melihat ada ahli maksiat yang seperti mendapat apa sahaja yang dia mahu..Itu semua 'bantuan Allah' dan sentiasa datang dalam bentuk yang tidak pernah kita bayangkan...
Hak Milik : GPK Pentadbiran SMKDUHA @ 2018 [Mohammad Bin Said]